Artikel bahasa Inggeris boleh di dapati di www.sdol.org, terima kasih kepada saudara Ammar.

Pertama sekali, erti perkataan sahabat Nabi ialah seseorang yang melihat, berjumpa dengan Nabi di dalam keadaan Muslim. Ini bermakna jika di zaman sekarang, Rasulullah berada di Mekah, maka semua orang yang berada di situ yang melihat dan berjumpa baginda akan menjadi sahabat baginda, oleh itu, apakah kelebihan gelaran ini? Menjadi seorang sahabat tidak menjadikan seseorang itu maksum dan tidak akan melakukan kesilapan. Mereka hanyalah manusia biasa yang terdedah kepada dosa dan mereka akan diadili di akhirat berdasarkan amalan mereka. Satu-satunya kelebihan mereka ialah mereka diberi peluang untuk berjumpa dengan nabi, tetapi ini tidak akan menjadikan mereka semua sebagai orang yang berilmu dan dijanjikan syurga.

Sebelum saya meneruskan, perlu rasanya saya menjelaskan tiada arahan ke atas kami untuk melaknat dan mencaci para sahabat dan isteri nabi. Kami menyayangi para sahabat seperti Ammar Yasir,  Salman Al Farisi, Miqdad dan Abu Dzar al Ghifari. Kami juga sangat-sangat menghormati para isteri nabi seperti Ummul Mukminin Khadijah, salah seorang penghulu wanita di syurga, Hazrat Ummu Salamah dan Hazrat Maria Qibtia. Bukankah mereka ini juga merupakan para isteri nabi? Bagaimanapun, terdapat beberapa orang sahabat yang tidak layak mendapat penghormatan kami kerana Rasulullah mengajar kami untuk mencintai pelaku kebaikan dan mengasingkan diri kami pelaku kejahatan dan penindas.

Mari kita mulakan dengan maksud Tawalla dan Tabarra. Tabarra bermaksud mengasingkan diri, sementara Tawalla bermaksud membayar. Di dalam Syiah, Tabarra mempunyai asasnya di dalam Tawalla, dan setelah kita memahami dengan elok konsep tawalla, saya akan move on ke konsep yang seterusnya.

Tawalla bermaksud membayar, di dalam Islam, apa yang perlu kita bayar?

(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, hanyalah kasih mesra terhadap keluarga ku.”
Quran [42:23]

Walaupun majoriti sarjana bersetuju bahawa ayat ini diturunkan untuk Ahlul Bait, tetapi ada yang menolak dan memberi pandangan yang berlainan. Adalah penting bagi saya untuk menjelaskan senario sebelum saya meneruskan. Berikut ialah pandangan dari orang-orang yang tidak bersetuju ayat ini diturunkan untuk Ahlul Bait Nabi.

“Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)
Quran [42:23],Terjemahan Ibn e Kathir

Ibn Kathir menterjemahkan seperti berikut: Katakanlah wahai Muhammad kepada penyembah berhala dari Quraish: Aku tidak meminta balasan dari penyampaian mesej ini dan nasihat ikhlas yang aku berikan kepada kamu. Apa yang aku minta hanyalah kamu menahan kejahatan kamu dari ku dan membiarkan aku menyampaikan mesej dari tuhan ku, jika kamu tidak mahu membantu ku, maka jangan mengganggu ku  atas dasar kekerabatan antara kamu dan aku. Al Bukhari merekodkan, Ibnu Abbas telah ditanya tentang ayat ini. Said ibn Jubair: Untuk berbuat baik kepada keluarga Muhammad. Ibn Abbas berkata: Tidak, kamu telah membuat kesimpulan yang salah. Tiada puak di antara kaum Quraish yang nabi tidak mempunyai hubungan kekerabatan dengan mereka. Kecuali kamu memegang kekerabatan di antara kau dan aku.
Tafsir Ibn e Kathir, Tafsir of Surah 42 Verse 23

Dari terjemahan Ibnu Kathir, apa yang kita dapati ialah:

  • Nabi mempunyai semua kekerabatan dengan kaum Quraish
  • Nabi meminta mereka agar tidak mengganggu baginda atas dasar kekerabatan ini.
  • Terjemahan ayat ini diriwayatkan dari Ibn Abbas ketika said bin Jubair membawa idea bahawa Nabi telah meminta masyarakat untuk menyayangi keluarga beliau.

Ini adalah satu percubaan yang lemah untuk merendahkan status keluarga terdekat Rasulullah(sawa). Bangkangan saya terhadap terjemahan ini adalah mudah.

ذَلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ شَكُورٌ
Quran [42:23]

Jika kamu membaca ayat ini di dalam bahasa Arab, kamu akan mendapati ia diturunkan untuk orang terdekat yang tertentu. Ayat ini menyebut perkataan “Qurba” atau “kerabat terdekat”. Kaum Quraish bukanlah kerabat terdekat Rasul, bagaimanapun, Bani Hashim ialah kerabat terdekat Rasul. Bani Hashim juga merupakan penyokong terkuat misi kenabian dari permulaan kecuali Abu Lahab(yang terlaknat). Oleh itu tidak perlu lagi bagi Rasulullah untuk meminta sokongan mereka yang pun mereka berikan dari segi moral dan kewangan.

Seterusnya, mengikut tafsir ibn Kathir, Nabi meminta kaum kafir untuk berbuat baik kepada baginda dan membiarkan baginda bebas menyebarkan mesej baginda. Namun apa yang kita dapati ialah ayat ini ditujukan kepada kaum mukmin, bukan kafirin. Ayat ini bercakap tentang ganjaran kepada Muslimin, jadi adalah tidak logik jika kita mengatakan ia adalah tentang kaum kafir.

Tidakkah Rasul mengetahui bahawa kaum kafir yang langsung tidak mahu menerima mesej kenabian baginda, pasti tidak akan membayar “upah” kepada baginda atas mesej kenabian ini? Seseorang itu hanya boleh meminta upah hanya kepada orang yang mengambilnya berkerja. Kenapa perlu saya membayar upah kepada pekerja yang langsung tidak berkerja dengan saya? Membayar upah kenabian kepada Rasulullah hanyalah tanggungjawab orang-orang yang menerima Islam, kerana Islam ialah usaha Rasulullah.

Tafsir Ibn Kathir memberi sedikit tanda kebencian kepada Ahlul bait. Sila baca ayat seterusnya.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.
Quran [9:23]

Allah swt memerintahkan agar mejauhkan diri dari orang kafir, walaupun jika mereka ialah ibu bapa dan anak, dan melarang mengambil mereka sebagai penyokong jika mereka memilih kekafiran dari keimanan. Kamu tidak akan menjumpai mana-mana orang mempercayai Allah dan Hari Kiamat, bersahabat dengan orang yang yang menentang Allah dan RasulNya, walaupun jika mereka ialah ibubapa dan anak mereka.
Tafsir Ibn e Kathir, Tafsir of Surah 9, Verse 23

Lihatlah bagaimana di sudut lain, Quran dan penterjemahnya bersetuju bahawa adalah salah untuk berkawan atau meminta sokongan dari orang kafir. Adalah salah untuk berbuat baik kepada si kafir yang menentang Islam. Seperti yang saya tunjukkan sebelumnya, penterjemah ini mendakwa Rasul meminta kaum kafir untuk berbuat baik kepada baginda walaupun mesej baginda adalah sangat bertentangan dengan mereka. Ini sangat-sangat tidak logik.

Perlu juga kita pertimbangkan ayat berikutnya ini.

Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?
Quran [52:40]

Katakanlah (wahai Muhammad): “Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu”.
Quran [34:47]

Jika kita lihat ayat di atas ini, menunjukkan kemungkinan Rasulullah meminta upah, yang mana menjelaskan ayat “Apa jua yang aku harap kamu berikan”. Bagaimanapun, ganjaran ini bukanlah berupa apa-apa keuntungan material kepada Rasulullah, melainkan ia juga adalah untuk kebaikan kita. Dan ganjaran ini ialah dalam bentuk kasih sayang kita kepada kerabat terdekat Rasulullah, yang mana juga merupakan perintah Allah swt. Ganjaran ini hanya akan menguntungkan kita, bukanlah siapa-siapa.

Akhirnya, ini meninggalkan kita dengan tafsiran sebenar ayat ini, yang mana Madudi mengesahkannya tetapi tidak bersetuju dengannya.

Kumpulan ketiga mengambil makna Qurba sebagai pertalian keluarga, dan menafsirkan ayat ini sebagai berbunyi: Aku tidak meminta upah dari kamu melainkan cinta kamu kepada keluarga terdekatku dan yang aku sayangi.” Kemudiannya, sesetengah penafsir menafsirkan pertalian keluarga bermaksud semua anak-anak Abdul Muttalib, manakala yang lain menghadkan mereka hanya kepada keturunan Ali dan Fatimah. Tafsir ini telah dilaporkan dari Said bin Jubair dan Amr bin Shuaib, dan di dalam sesetengah hadis, ia telah ditujukan kepada Ibn Abbas dan Ali bin Hussain zainal Abidin.
Tafsir Abul Ala Madudi, Tafsir of Surah 42, Verse 23

Perlu juga kita meneliti tafsiran Aqa Mahdi Puya.

Struktur ayat ini membuktikan bahawa Nabi telah diperintahkan untuk meminta upah, sebagai pengecualian, bukan dari semua orang tetapi dari kaum Muslimin yang disebutkan di dalam ayat 25:57, seseorang yang mahu mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah. Upah ini adalah demi kebaikan kaum Muslimin sendiri, tidak dalam mana-mana cara menguntungkan Rasulullah. Allah swt tidak menggunakan perkataan Arham(saudara pertalian darah), tetapi menggunakan perkataan Qurba(keluarga terdekat) untuk menunjukkan bukan sahaja pertalian darah, tetapi memerlukan ciri-ciri terdekat atau hubungan rapat dan pencapaian juga diambil kira sebagai kualiti yang penting. Jadi berdasarkan ayat ini, cinta kepada Ahlul Bait telah menjadi satu kewajipan di dalam Iman, jika tidak, kita tidak dikira sebagai taat kepada Allah.
Tafsir Aqa Mahdi Puya, Tafsir of Surah 42, verse 23

Kepentingan ayat ini ialah di mana kita dapati tiada langsung nabi dan rasul silam yang meminta upah sebagai balasan.

Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
Quran [26:127]

Nabi(sawa) kita, meminta untuk diberikan upahnya. Walaupun upah baginda ialah dari Allah swt, upah yang baginda minta akan hanya menguntungkan kita.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, hanyalah kasih mesra terhadap keluarga ku.
Quran [42:23]

Oleh itu Tawalla bermaksud untuk membayar Rasulullah upah baginda, ganjaran baginda. Tanpa perlu berhujah tentang siapa Ahlul Bait di sini, faktanya tetap sama, iaitu menyayangi Ahlul Bait yang mana solawat kita ditujukan kepada mereka ialah satu jenis ibadah, dan tiada seorang pun Muslim yang tidak bersetuju bahawa menyayangi Nabi Muhammad dan keturunan baginda ialah satu kandungan yang penting di dalam Iman seorang Muslim.

Bagaimana caranya kita menyayangi mereka hari ini? Bagi saya:

  • Dengan mengikuti jalan mereka
  • Dengan membantu misi mereka
  • Dengan menyayangi orang yang mereka sayangi
  • Dengan mempunyai perasaan tidak senang dengan orang yang menyakiti mereka
  • Dengan meraikan tarikh yang mereka rai
  • Dengan menghormati tarikh kematian atau tragedi mereka.
  • Dengan memuji mereka, menghantar solawat dan salam kepada mereka dan mengingati mereka dalam kehidupan harian kita.

Ini adalah senarai saya. Anda boleh menyayangi mereka dengan cara anda sendiri dan membuat penambahan kepada senarai ini. Tetapi sains dalam mencintai menyatakan bahawa, jika saya mencintai ibu saya, saya sepatutnya membenci musuh beliau(dengan mengandaikan ibu anda berada di jalan yang benar kerana Ahlul Bait akan selalu berada di jalan kebenaran), saya tidak akan menyenangi orang yang beliau tidak senangi, saya akan menjauhkan dan mengasingkan diri saya dari orang yang mencederakan nyawa, harta dan maruah beliau. Ini ialah tabarra, sebahagian besar dari Tawalla.

Kartun Nabi Muhammad telah dibuat di Skandinavia. Jika saya membuat petisyen bahawa saya menyokong tindakan itu, saya boleh menjamin kedudukan saya di neraka kerana menandatangani petisyen itu bererti saya bersetuju dengan tindakan itu, dan jika saya mempunyai peluang dan sumber, pasti saya akan melakukan perkara serupa.

Sama juga, jika saya menandatangani petisyen menentang tindakan itu, bererti saya melakukan tabarra, dengan mengutuk dan mengasingkan diri saya dari perbuatan terkutuk itu. Ini adalah cara saya menunjukkan kebencian saya kepada perbuatan itu. Oleh kerana cinta dan ketaatan saya kepada Rasulullah, adalah perlu bagi saya untuk menunjukkan perasaan tidak suka saya dalam hal ini.

Tabarra tidak bermakna untuk mencaci dan melaknat. Perlu bagi saya mengakui terdapat ramai orang jahil dan ekstrim di merata tempat. Adalah sangat mudah bagi kita untuk duduk di dalam rumah dan menggunakan kata-kata menyakitkan terhadap seseorang, tetapi adalah sangat sukar untuk membuang kejahatan dari diri kita, kejahatan yang serupa yang wujud di dalam diri orang yang kita caci.

Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
Quran [9:114]

Ibrahim(as) mengisytiharkan berlepas diri dari kemusyrikan. Jadi apakah nama bagi tindakan berlepas diri ini seperti mana yang Nabi Ibarahim lakukan?

Intipati sebenar Tabarra ialah dengan menunjukkan bantahan dan ketidak setujuan terhadap tindakan-tindakan tertentu, terhadap orang-orang yang kamu sayangi dan taati. Jika saya melaknat Yazid kerana kekejaman beliau terhadap Imam Hussain, saya juga turut melaknat tindakan beliau yang suka minum arak, berjudi membunuh dan berzina . Jika saya melaknat Yazid hanya di mulut, tetapi dalam tindakan saya melakukan  perbuatan yang serupa dengan beliau, maka ia bukan lagi ibadah, tetapi munafiq. Tindakan saya melaknat Yazid sepatutnya membuatkan saya menyedari sifat-sifat buruk beliau dan membuatkan saya menjauhi sifat buruk itu.

Dalam hal yang serupa, jika saya mula menghormati Hitler, atau Firaun, rasa hormat saya kepada mereka menunjukkan kurangnya pertimbangan, Iman dan sifat saya yang jahat. Kerana jika saya menghormati seseorang yang bertanggungjawab atas kematian 40.000 bayi, dan saya tidak berlepas diri dari beliau, samada dengan kata-kata dan perbuatan, ini bermakna saya bersetuju dengan tindakan beliau, yang akan membawa kepada kemurkaan tuhan.

Kami mencintai Muhammad(sawa). Atas pernyataan inilah yang membuatkan kami berasa meluat apabila nama-nama seperti Abu Jahal dan Abu Lahab disebutkan.

Menunaikan Haji ialah salah satu rukun Islam. Apakah yang sepatutnya difikirkan oleh kaum muslimin ketika membaling batu di Jamrah? Sesungguhnya Jamrah itu adalah simbolik kepada syaitan, dan membaling batu kepada jamrah menunjukkan secara simbolik bahawa bukan sahaja kita tidak menyukai syaitan malah kita membenci sifat syaitan itu sendiri. Ini ialah salah satu contoh Tabarra kepada syaitan itu sendiri, kerana keingkaran mereka kepada perintah Allah swt. Apabila seorang Muslim membaling batu kepada syaitan, dia juga membuat janji dengan diri beliau sendiri untuk tidak mengikuti jejak langkah syaitan dan sifat syaitan itu sendiri. Ini kerana adalah tidak logik apabila pada suatu hari, kita merejam syaitan kerana sifat buruk ia kepada Allah, tetapi pada hari berikutnya kita sendiri mengikuti perangai buruk syaitan itu. Inilah kuasa Tabarra, untuk menyedarkan diri kita akan dosa seseorang dan menghindarkan diri kita darinya.

Jika seseorang mempunyai kekuatan untuk membenci pelaku kejahatan, maka beliau juga harus mempunyai kekuatan untuk menjauhkan diri dari kejahatan tersebut, jikalau tidak, ia hanyalah satu simbol munafik bagi diri kita.

Sekarang kita akan membincangkan tentang isu melaknat para sahabat. Seperti yang dinyatakan di permulaan artikel ini, Syiah sangat menghormati para sahabat. Melaknat ialah satu tindakan Tabarra yang bererti kita berlepas tangan dari pelaku kejahatan atau pelaku dosa. Melaknat sesetengah sahabat, tidak langsung membawa maksud tidak menghormati Rasulullah atau Islam itu sendiri.

Adalah sangat menghairankan, saudara-saudara sunni saya yang tidak menganggap Nabi dan Ahlulbait baginda sebagai maksum(maksum sepenuhnya dari segala dosa dan kesilapan), tetapi meletakkan kualiti tersebut kepada para sahabat baginda. Saya berkata begini adalah kerana sahabat Sunni saya tidak mempercayai bahawa para sahabat boleh melakukan apa-apa kesalahan, dan melaknat mereka ialah salah. Jika para sahabat boleh melakukan kesilapan dan melakukan kejahatan, maka melaknat mereka bukanlah satu kesalahan. Jika mereka melakukan kejahatan, mengapa melaknat kejahatan yang mereka lakukan harus dikutuk?

Mengikut kata-kata orang yang ekstrim: Syiah melaknat sahabat. Barangsiapa yang melaknat sahabat ialah kafir. Oleh itu Syiah ialah kafir. Mereka yang melaknat para sahabat sepatutnya dibunuh.

Persoalan yang baru timbul, adakah Allah membenarkan kita untuk melaknat seseorang?

Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata – tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
Quran [4:47]

Mereka yang tidak melakukan perintah Allah dilaknat oleh Allah sendiri, tidak kira samada sahabat atau orang kafir.

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar..
Quran [4:93]

Oleh itu, jika seseorang itu, termasuklah para sahabat, membunuh seorang sahabat lain secara sengaja, maka beliau akan dilaknat dan mendapat azab yang besar. Apa yang perlu kita buat terhadap orang yang dilaknat Allah swt? Jika kita mencintai dan menghormati mereka yang Allah dan RasulNya telah melaknat, maka bukankah itu membawa kepada tidak taat kepada Allah?

Bukankah mereka yang menyakiti Allah dan Rasulnya adalah orang-orang yang terlaknat?

Setiap Muslim bersetuju bahawa setelah kematian Rasulullah, telah terjadi konflik antara sesetengah kumpulan para sahabat dan Ahlulbait yang mana ayat Tathir diturunkan kepada mereka.

Kita menyayangi Nabi(sawa). Bukankah sepatutnya kita menunjukkan perasaan tidak senang kita kepada mereka yang mengatakan baginda nyanyuk?
Kita menyayangi Sayyidatina Fatimah Zahra. Bukankah kita sepatutnya menunjukkan tidak suka kita kepada orang yang menyebabkan kemarahan baginda?
Kita menyayangi Imam Ali. Bukankah kita sepatutnya berasa benci kepada mereka yang memerangi beliau di banyak peperangan, yang menentang beliau?
Kita menyayangi Imam Hassan dan Hussain, bukankah kita sepatutnya melaknat pembunuh mereka?
Bukankah kita sepatutnya melaknat orang-orang yang telah mendapat laknat Allah dan Rasulnya?

Jika kita lihat dari sudut lain, ekstrimis wahabi menganggap melaknat para sahabat boleh membuatkan kamu menjadi kafir. Bukankah ini ialah sejenis Tawalla mereka kepada para sahabat itu? Dan bukankah kebencian wahabi terhadap kami merupakan satu jenis Tabarra mereka terhadap kami, kerana tindakan kami kepada personaliti mereka?

Mengapa kami menjadi kafir apabila kami berlepas diri dari orang-orang yang menyakiti dan menentang Ahlulbait?

Jika hanya dengan perkataan yang mudah terhadap para sahabat itu boleh membuatkan kita menjadi kafir, jadi bagaimana pula dengan orang-orang yang menentang kumpulan ini dengan niat untuk membunuh mereka? Bagaimana pula dengan orang-orang yang menentang Imam Ali, saudara dan menantu Rasulullah(sawa), Khalifah Ar Rashidin dan sahabat utama.

Jika melaknat Ali membawa kamu keluar dari Islam, maka memerangi beliau membawa kamu keluar dari Islam dengan lebih cepat lagi. Kami juga boleh bercakap perkara yang serupa. Dan jika kamu mempertahankan orang-orang yang melancarkan perang terhadap Imam Ali, dan dalam masa yang sama kamu membenci kami kerana sifat tidak suka kami terhadap beberapa orang sahabat tertentu, maka ini ialah hipokrasi dari pihak kamu.

Mereka yang menentang Rasul akan layak mendapat laknat dari Allah swt. Adakah kamu fikir orang yang menentang Nafs Rasulullah(peristiwa Mubahilah, Ali ialah sebahagian dari Nabi) akan mendapat keredhaan Allah swt? Fikirkan semula jawapan kamu!

Syiah tidak melaknat sahabat Rasulullah(sawa). Kami melaknat musuh Baginda dan keluarga baginda dan berlepas diri dari musuh-musuh mereka. Adakah dengan berbuat begini, kami melanggar mana-mana tiang agama?

Dengan melaknat, apa yang saya maksudkan ialah untuk mengasingkan diri kami dengan mereka, dan tidak memberikan mereka penghormatan yang sama yang diberikan kepada para sahabat yang mulia yang lain. Dengan melaknat, ini sama sekali bukan bermaksud mencaci maki, yang mana bukanlah satu amalan Imam Ali(as). Mereka yang mencaci maki sekumpulan para sahabat dan isteri nabi tertentu, berbuat demikian atas dasar emosi mereka, ekstrimis dan kejahilan. Mereka tidak mengikuti ajaran para Imam, tetapi mengikut ajaran Mullah mereka yang jahil. Adalah sangat sukar bagi kita untuk menyayangi Rasulullah dan Ahlulbait baginda, kerana jika menyayangi mereka, kita terpaksa mengikuti cara mereka dan ajaran mereka, dan dengan mencintai Ahlulbait, adalah sangat mudah bagi kita untuk membenci musuh-musuh mereka, kerana kita selalu memahami perkataan benci ini sebagai kata cacian dan makian.

Tabarra kami terhadap mereka yang menentang Imam Ali membuktikan bahawa, jika kami hidup di zaman Imam Ali, maka pastinya kami akan berada di pihak tentera Imam Ali dalam menentang musuh-musuh beliau, musuh-musuh Islam. Laknat kami terhadap orang-orang yang mengatakan Nabi(nauzubillah) gila, membuktikan kamu dengan tegas mengecam tindakan itu, dan jika kami berada ketika kejadian itu berlaku, kami akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mengelakkan dari kejadian yang sama berulang. Inilah cinta kami kepada Muhammad dan keluarga Muhammad.

Telah diriwayatkan dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah(sawa) bersabda: “Di masa terdekat nanti, akan ada Amir dan kamu akan menyukai amal baik mereka dan membenci kejahatan mereka. Mereka yang melihat keburukan mereka( Dan cuba menghalang ia dari berulang samada dengan tangan atau kata-kata), tidak akan disalahkan, begitu juga dengan orang yang membenci tindakan buruk mereka(di dalam hati, kerana tidak mampu menghalang dengan terang-terangan) juga akan selamat. Tetapi mereka yang bersetuju dengan  tindakan buruk mereka, dan mengikut mereka, maka rohani mereka rosak. Mereka bertanya kepada Nabi: “Patutkah kami menentang mereka?” Baginda menjawab: “Tidak, selagi mereka bersolat.”
Sahih Muslim Book 020, Number 4569

Perhatikan mereka yang gagal menghalang perbuatan buruk seseorang samada dengan tangan, mulut atau dengan hati terlepas dari kemurkaan Allah swt. Tetapi mereka yang bersetuju dengan perbuatan buruk mereka akan rosak rohani mereka. Jika kamu menyejutui perbuatan seseorang atas dasar dia ialah seorang sahabat, yang terdedah kepada dosa, maka kamu telah meragui keadilan Allah swt, kerana menjadi seorang sahabat tiada kelebihannya, melainkan dengan mempunyai keimanan tinggi dan bertindak atas kebenaran.

Tawalla bermaksud untuk mencintai apa yang dicintai oleh Muhammad dan Ahlulbait baginda, untuk bergembira pada hari kegembiraan mereka dan untuk turut bersedih untuk tragedi yang menimpa mereka, seperti Muharram. Kami Syiah tidak mendengar muzik atau sebarang acara kegembiraan dalam bulan Muharram dan Safar, kerana dalam bulan-bulan inilah Ahlulbait berada di dalam kesedihan yang amat dasyat dan ujian kepada mereka. Kami meraikan hari kelahiran keturunan Muhammad(sawa) dan hari perkahwinan mereka dll. Ini adalah sebahagian dari Tawalla dari pihak kami. Kami mencintai sahabat mereka dan orang-orang yang menyokong mereka.

Bahagian kedua dalam perasaan cinta ini yang disebutkan di dalam Quran ialah Tabbara. Tabbara ialah berlepas tangan, atau di dalam maksud yang lebih luas, menjauhkan diri dari musuh Muhammad dan keluarga baginda. Menjauhkan diri ini, juga bermakna untuk langsung tidak mahu ada kena mengena serta mengiktiraf mereka yang menindas Ahlulbait. Kami Syiah menunjukkan kemarahan kami terhadap orang-orang yang kejam terhadap Ahlulbait. Ini tidak termasuk mencaci maki secara terbuka, kerana ia bertentangan dengan etika serta kemuliaan Syiah Ali. Tabbara juga turut menentang orang-orang yang mengikuti orang-orang yang menindas Ahlulbait, bukan sahaja pelaku tersebut sahaja.

Di dalam Ziyarat al Warisa Imam Hussain, kami melaknat seperti yang di lakukan oleh Imam-Imam sebelumnya, mereka yang menindas Imam Hussain, yang menyebabkan kesyahidan beliau, yang menyaksikan dan mendengar peristiwa ini, tetapi tidak mengkritik kejahatan ini samada secara terbuka atau di dalam hati mereka. Oleh itu adalah sangat penting untuk menjauhi mereka yang melanggar perinth Allah swt dan mengganggu Nabi(sawa)

Jadi jika kamu mencintai Muhammad dan ahlulbait baginda, maka ikutilah jalan mereka, bencilah kejahatan dan bertempurlah dengan kejahatan di dalam hati kamu. Laknatlah musuh Allah, musuh Nabi Allah dan musuh keturunan baginda yang dirahmati. Wallahualam.