the truth is out there

Bismillahirrahman ar rahim. Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa aali Muhammad Sejak sekian lama, artikel yang saya post kebanyakannya adalah artikel-artikel tentang Doktrin Syiah, kontroversi yang terdapat di dalamnya, serta perbincangan-perbincangan ilmiah berdasarkan fakta, dalil dan nas. Dari mula saya memulakan blog ini, semasa tiada langsung orang yang mengunjungi, sehinggalah sekarang, di mana makin ramai yang datang bertandang, apa yang banyak saya tekankah hanyalah fakta-fakta berkaitan isu-isu tertentu. Tetapi saya terlupa untuk post satu artikel, yang mana sepatutnya saya letakkan sebagai permulaan sebelum memulakan perbincangan-perbincangan ilmiah saya, iaitu persediaan yang perlu ada pada seseorang bagi mencapai kebenaran(Al Haq). Sebelum tu biar saya mengulas sedikit tentang mentaliti masyarakat sekarang, yang menyebabkan mereka gagal mencapai kebenaran, gagal mengecapi nikmat beragama dalam erti kata sebenar.

Ini kerana, mereka tidak mengkaji agama sendiri, dan ramai di antara kita, hanya Islam pada nama sahaja, Islam yang diwarisi dari ibu bapa kita, tanpa kita sebagai penganutnya, memahami ajaran-ajaran, prinsip-prinsip yang terdapat di dalamnya. Kebenaran itu wajib dicari, meskipun kita sudah berada dalam agama Islam. Kita wajib mencari dan mengkaji Islam, bukan menerima bulat-bulat apa yang kita terima dan warisi. Kebenaran di dalam Islam itu tidak akan datang sendiri kepada kita, jika kita hanya bertaqlid buta kepada ibu bapa dan nenek moyang kita. Ini kerana mereka sendiri juga(melainkan mereka mengkaji) mewarisi agama ini daripada nenek moyang mereka, yang mana ketulenannya tidak dapat dijamin. Jagalah diri kita agar jangan sampai tergolong di dalam kumpulan yang disebutkan oleh Allah di dalam AL Quran surah Al Baqarah ayat 170:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَلۡ نَتَّبِعُ مَآ أَلۡفَيۡنَا عَلَيۡهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَآؤُهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَهۡتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? Al Quran(2:170)

Keadaan yang serupa juga turut dirakamkan di dalam kitab yang sama, surah Al Maidah ayat 104

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ قَالُواْ حَسۡبُنَا مَا وَجَدۡنَا عَلَيۡهِ ءَابَآءَنَآ‌ۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَآؤُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَہۡتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?  Al-Quran(5:104)

Lihat lah bagaimana Allah swt bercerita mengenai orang-orang yang  berasa betul, dan tidak mahu mengkaji, berasa berpuas hati dengan apa yang mereka miliki, tanpa mereka mengetahui benar atau tidak pegangan yang mereka jadikan sebagai pegangan itu. Dengan itu lahirlah kelompok dalam umat yang dipanggil Islam Warisan Hanya Pada Nama. Ini merupakan kelompok Islam yang paling tidak berkualiti dalam umat Islam. Mereka inilah yang menjatuhkan maruah Islam, merosakkan nama suci agama ini, malah mempunyai fahaman yang salah tentang pegangan mereka(lihat sahaja artis Malaysia,huh). Lebih teruk, ada segelintir dari mereka mencapai tahap membahayakan aqidah(sesat lagi menyesatkan) apabila menarik orang lain jauh dari agama ini. Terdapat 2 sebab yang melahirkan golongan ini.

  1. Fanatik dan taqlid buta dalam beragama, menyebabkan mereka malas untuk mengkaji lagi, serta menolak mana-mana yang tidak diketahui. Mereka dengan sedaya upaya cuba mempertahankan kepercayaan mereka, walaupun sudah sampai bukti yang nyata dan terang. Rasa cinta kepada nenek moyang juga turut menyumbang kepada wujudnya golongan ini. “Mak bapak aku ajar macam ni, tok wan aku puan ajar macam ni, jadi inilah yang betul.” Mereka cuma menerima dan redha dengan apa yang mereka ketahui.
  2. Sebab kedua ialah sebab yang banyak melanda anak-anak remaja di masa kini. Terlalu terpedaya dengan dunia sehingga significant(kepentingan) hidup beragama Islam kepada diri mereka adalah sangat sedikit sekali. Jangan kat nak mengkaji, keinginan untuk beragama pun tiada. Agama pada mereka cukuplah pada solat 5 waktu(itupun kadang-kadang terlepas), puasa(itupun tidak dihayati prinsipnya), aurat(banyaknya tak bertutup, kalau bertutup, terdedah kat tempat lain) dan bila nak menikah. Itu je. Golongan ini agak serius, dan saya akan address mereka dalam artikel lain dengan lebih detail.

Untuk artikel ini, saya akan lebih concentrate tentang kumpulan pertama, yang menjadikan Islam sebagai pakaian hidupnya, tetapi, bertaqlid buta, tanpa kajian, berpegang teguh kepada sesuatu yang konkrit hanya dalam pandangan dia sahaja. Kumpulan ini lebih baik dari kumpulan kedua tadi, at least masih mahu untuk berpegang kepada agama ini, masih mahu untu memakai “baju” yang bernama Islam serta hidup berdasarkan prinsipnya. Apa yang dapat kita lihat dalam masyarakat sekarang ini ialah, betapa ramainya di antara kita yang belajar dan menuntut ilmu ke peringkat tinggi, degree, master, Phd, malah hidup mewah dan high income. Malangnya dalam soal aqidah dan agama  mereka terpenjara dan terperangkap dalam kotak pemikiran taqlid buta mereka.  Mereka takut dan tidak mahu mendengar keterangan-keterangan dan fakta-fakta yang bertentangan dengan kepercayaan mereka atau sesuatu yang berbeza dengan kepercayaan majoriti. Mereka lebih mengikut emosi dan sentimen yang telah diterapkan di dalam akal mereka berbanding bersikap rasional tentang sesuat perkara.

Mereka tetap kekal malah membatukan diri di dalam satu keyakinan yang belum diuji dan dicabar kebenarannya.

Allah berfirman: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. Al Quran(17:36)

Ayat ini menerangkan betapa perlunya kita untuk mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu sebelum kita mengikuti sesuatu perkara. Dan pengetahuan mendalam hanya akan kita perolehi apabila kita mengkaji dan belajar. Allah swt turut memberi peringatan bahawa semua pancaindera kita akan di tanya, samada kita menggunakan mereka sepenuhnya atau tidak dalam menilai sesuatu perbezaan, yang mana betul dan yang mana salah. Persoalan kini ialah bagaimana kita mahu membuktikan kebenaran aqidah yang kita pegang, kerana pertelingkahan, perselisihan di antara mazhab masih berlaku hingga sekarang tanpa nampak tanda-tanda ia akan berkesudahan. Di satu pihak ialah Ahlul Sunnah wal Jamaah yang merupakan majoriti 75%-80% dari keseluruhan umat Islam. Mereka mengaku mengikut Al Quran dan Sunnah sebenar dan terbahagi pula kepada 4 mazhab majoriti, iaitu Hanbali, Maliki, Hanafi dan Syafi’i, yang mana di antara mereka berbeza banyak dari segi hal yang melibatkan furu’.

Di satu pihak lagi ialah satu kumpulan yang dipanggil Syiah, yang mana mewakili 20%-25%. mereka juga mengaku diri sebagai Muslim serta mengikuti Al Quran dan Sunnah. Majoriti dari yang bergelar Syiah, ini diwakili oleh Syiah Ithna Asyari, atau Ja’fari. Bagaimanakah kita mahu membuktikan kebenaran dakwaan mereka? Adakah kita hanya perlu berpuas hati dan yakin dengan apa yang kita sudah pegang seterusnya menolak atau worst case, menyesatkan mereka?

Ciri-Ciri Yang Di Perlukan

Untuk mencapai kebenaran, kita sebagai hamba Allah yang mengkaji, perlu memiliki beberapa ciri-ciri khas.

1. Berkeinginan tinggi untuk mencari kebenaran serta yakin dan ikhlas. Ingin, yakin dan ikhlas, 3 perkara ini perlu dalam diri kita jika mahu mencapai kebenaran. Dalam pengalaman saya sewaktu mencari kebenaran dulu, selalu bila berdialog dengan orang lain, mereka akan gunakan ayat-ayat dhaif untuk melemahkan keyakinan kita. Dan saya yakin, perkara serupa juga akan dilalui oleh orang-orang lain yang mencari kebenaran. Antara ayat-ayat power ini ialah:

  • Siapalah kita kalau nak dibandingkan dengan ulama-ulama terdahulu
  • Siapa kau nak pertikai dan bahas masalah-masalah macam ni.
  • Ikut je majoriti
  • Mak bapak kite sume ikut mazhab ni, x payah susah-susah dah nak carik lain.

dan banyak lagi alasan-alasan rapuh dan jahil yang akan mereka berikan kepada kita. Inilah yang menjadi kulit kepada pemikiran dan mentaliti mereka. Implikasi dari sikap seperti ini menyebabkan manusia akan berfikiran jumud, dan tidak mahu menerima atau mendengar apa sahaja yang bercanggah dengan pegangan mereka.

Mereka memekakkan telinga mereka dari kebenaran, sehingga ke satu tahap, mereka akan menjadi seolah-olah binatang, yang bila diseru tidak menoleh dan mengambil peduli, seperti mana firman Allah swt:

Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya. Al Quran(2:171)

Walaupun ayat di atas ditujukan kepada orang-orang kafir, tetapi iktibarnya dapat kita ambil dan kita gunakan, agar kita tidak menjadi orang-orang yang pekak, bisu dan buta, yang tidak mengendahkan langsung suara-suara penggilan ke jalan Allah, yang membuatkan kita merasa diri kita berada di jalan yang benar.

2. Berani menerima kebenaran. Ini adalah satu lagi ciri-ciri yang perlu ada di dalam diri kita sendiri. Apabila kita memulakan kajian kita, dan di dalam perjalanannya, pasti kita akan mencapai satu tahap, di mana kita berasa ragu-ragu kerana terdapat fakta-fakta kuat yang bercanggah dengan kepercayaan yang kita pegang selama ini. Fakta-fakta ini sangat kuat, di mana akal kita memprosesnya sebagai kebenaran, dan hati anda meyakininya, bagaimanapun, nafsu dan syaitan, tidak akan membiarkan kita menuju kebenaran dengan mudah. Dengan menebarkan sifat takbur, takut dan ragu, maka mereka berjaya membuatkan kita menipu diri kita sendiri dan memalingkan kita dari jalan Allah swt.

Seperti dalam page saya, “Risiko kepada Anda”, saya telah ingatkan agar kita perlu berani menerima kebenaran apabila kita sudah mengetahuinya, kerana, terdapat perbezaan yang besar antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Orang yang sudah tahu, sudah diberitahu dan diingatkan, tetapi memalingkan diri dari kebenaran, ingatlah, murka Allah sedang menanti.

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggujawabkan.” (Al Quran 17:3)

Dan di dalam page yang sama saya ada mengatakan, jika anda semua mendapati apa yang saya katakan tidak benar, maka saya pohon agar membetulkan saya dari jalan ini, kerana ia adalah tanggungjawab kita sebagai saudara. Bawakan kepada saya bukti untuk meyakinkan saya bahawa jalan Syiah Ahlulbait ini ialah jalan yang salah! Allah berfirman:

قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ

Katakanlah wahai Muhammad: Tunjukkanlah bukti jika kamu berada di jalan kebenaran.(Al Quran 2:111)

Jika tiada bukti yang kamu boleh bawakan, dan akal kamu sendiri menerimanya, maka terimalah kebenaran itu dengan hati terbuka. Itu sahaja pesan saya.

3. Banyakkan mengkaji dan belajar dari sumbernya yang asli sebelum membuat keputusan. Banyak kita melakukan kesilapan apabila sering mendengar dan merujuk dari sebelah pihak sahaja membuatkan akal kita sering membuat keputusan berat sebelah. Dengarkan dahulu hujah kedua belah pihak, kemudian gunakanlah akal yang diberi oleh Allah dengan sebaiknya. Banyakkanlah dialog dan bertanya dari orang yang betul, dari orang yang ahlinya, dan elakkan pendapat-pendapat yang fanatik mazhab, yang terlampau jelas ketaksuban orang itu.

Demi mencari kebenaran, ke perantauan aku pergi...

Dialog sangat-sangat digalakkan oleh Allah swt. FirmanNya:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdialoglah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Al Quran(16:125)

Perhatikan betul-betul, ayat di atas ialah satu perintah Allah swt agar berdialog, berbahas dan berhujah dengan cara yang elok dan lembut, bukan dengan cara kasar, yang penuh dengan hasad dengki, permusuhan dan buruk sangka. Malangnya inilah yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang, tiada lagi budi bahasa dan etika akal. “Dia Syiah, sesat lagi menyesatkan, jauhi die, membawa ajaran songsang dan merosakkan perpaduan Ummah”, ini ialah ayat-ayat biasa yang sering didengari oleh seorang Syiah seperti saya, walaupun jemputan dialog telah saya berikan. Saya menjemput mereka untuk dialog ilmiah, tetapi dibalas dengan makian penuh menghina. Saya berasa hairan, bukankah apabila ada saudara kita tersalah jalan, tersesat, maka menjadi tanggungjawab sekalian kaum Muslimin untuk membetulkannya. Wajib kita menasihati, berhujah dengannya agar beliau kembali ke jalan yang benar semula?

Ini tidak, terbalik pula jadinya di masa ini, apabila orang yang sesat di sisihkan dan dijauhi. Maka saya langsung tidak terkejut di dalam keadaan masyarakat macam ni, banyak kes murtad yang terjadi. Padan muka kita.

Terlalu ramai orang yang suka larikan diri dari berdialog. Banyak dari kawan-kawan saya sendiri melarikan diri dari dialog, samada melarikan diri, buat tak tahu atau menjauhkan diri dari saya. Semua ini dilakukan agar tidak mengganggu gugat keyakinan yang dipengang selama ini. Inilah satu kesilapan besar untuk seorang yang bernama Islam. Sekiranya kita boleh berhujah dan memberikan pandangan kita, maka sudah tentu kita akan terselamat kerana perbandingan dapat kita buat.

Isu di atas sangat berkait dengan ayat Quran yang seterusnya, mari kita amati betul-betul, firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi  pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai, “Engkau bukan orang yang beriman”…..Al Quran(4:94)

Lihatlah betapa berbezanya masyarakat Islam zaman kini dengan perintah Allah di atas. Saya menghulurkan perdamaian dengan mengajak dialog, tetapi balasan yang saya dapati ialah sebaliknya.

4. Bersedia untuk menghadapi reaksi masyarakat. Ini adalah satu lagi sifat yang perlu ada dalam diri kita jika kita mahukan kebenaran. Malangnya, bukan mudah untuk mempunyai keberanian. Apabila anda mempercayai sesuatu yang berbeza dari apa yang dipercayai oleh majoriti, maka reaksi masyarakat is not always positive, but not always negative neither. We must take the chances, berani ambil risiko. Kebenaran itu pahit, maka janganlah kita menyangka jalan-jalannya penuh dengan nikmat kesenangan. Imam Ali pernah berkata:

“Jika perjuangan kamu tidak mendapat tentangan, maka raguilah kamu di jalan kebenaran.”

Wow, lihatlah dari kenyataan Imam Ali ini, menandakan bahawa setiap perjuangan menegakkan kebenaran itu, pasti ditentang. PASTI!!! Bagaimanapun, selagi kita mempunyai hujah yang kuat, bersandarkan kepada Al Quran dan Sunnah, maka kita tiada apa yang perlu di takutkan. Di dalam satu hadis riwayat oleh Muslim dan Ibnu Majah, Rasulullah(Sa) bersabda:

Kedatangan Islam itu pada mulanya ialah terasing dan ianya akan kembali terasing seperti mulanya. Maka beruntunglah bagi mereka yang terasing.”

Hadis ini menerangkan bagaimana pada permulaan Islam itu terasing, dijauhkan diri, dan dipulaukan, serta tidak diterima umum. Kemudian ia mula mendapat tempat di hati masyarakat, dan Islam beroleh kemenangan. Bagaimanapun, Rasulullah menyebut, selepas satu zaman hidup baginda, Islam akan kembali ke status semasa permulaannya, di mana ia terasing, dan hanya segelintir minoriti sahaja masih berpegang kuat dengan ajaran Islam, dan golongan minoriti ini ialah orang orang yang beruntung.

Sekarang cuba kita sesuaikan konteks hadis ini dengan ajaran Ahlul Sunnah yang di anuti kita sekarang. Adakah mazhab ini terasing? demi Allah tidak. Di mana saja anda pergi di dunia ini pasti anda akan bertemu dengan Ahlul Sunnah, tidak kita samada versi Maliki, Hambali atau lain-lainnya. Semuanya mengaku sebagai kelompok Ahlul Sunnah dan mereka bebas mengamalkan mazhab mereka di mana sahaja. Kuasa pemerintah membuatkan mereka terkenal di seluruh dunia, dan mereka ingin menghadkan Ahlul Sunnah hanya kepada 4 mazhab ini sahaja. Manakala kumpulan yang berada di luarnya, adalah sesat, zindiq dan kafir.

Walaubagaimanapun, ingatlah, yang terasing ini jugalah yang beruntung. Wallahualam

Setakat ini dulu tulisan saya berkaitan ini, macam dah masuh psikologi pulak. Lepas ni saya akan tulis satu lagi artikel yang berkaitan dengan psikologi. Insyallah, ambillah mana yang benar, dan tinggallah mana yang buruk. Salam dan Solawat.